[Bermula tahun 2011, KSSR diperkenalkan dan mengisi proses transformasi oleh KPM bagi memastikan sistem pelajaran Malaysia setanding dengan piawaian antarabangsa. Reka bentuk KSSR berasaskan enam tunjang utama dan penggunaan Dokumen Standard Kurikulum (Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran) sebagai bahan kurikulum menggantikan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran. KSSR memberi fokus terhadap 4 kemahiran, iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul(4M). Kemahiran menaakul perlu diajar selari keperluan untuk menyediakan murid dengan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.
Pendekatan modular yang diterapkan dalam KSSR berupaya embantu guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih terancang dan murid dapat mencapai standard pembelajaran yang ditetapkan. Dalam melaksanaan pengajaran dan pembelajaran, guru-guru disaran menggunakan pendekatan didik-hibur yang berpusatkan kepada murid agar suasana pembelajaran menjadi sangat menyeronokkan. KSSR akan menimbulkan minat kepada murid untuk belajar. Pendekatan didik-hibur yang digunakan dapat menjadi dorongan untuk murid terlibat aktif dalam setiap waktu pembelajaran selain menyerlahkan semangat kerjasama dan menghayati nilai-nilai murni ketika melakukan aktiviti kelas.](maklumat yang dipetik dari modul pembelajaran KPF 3012 Perkembangan Pendidikan di Malaysia:Falsafah dan Dasar)
Sebanyak 28 unit dalam buku teks Bahasa Cina KSSR Tahun 1. Setiap unit pembelajaran mengandungi 5 bahagian utama, iaitu modul Mendengar dan Bertutur, Modul Membaca, Modul Menulis, Modul Seni Bahasa dan Modul Tatabahasa. Refleksi saya disediakan daripada kelima-lima bahagian tersebut.
Modul Mendengar dan Bertutur
Modul mendengar dan bertutur dijalankan melalui komunikasi guru dengan murid berdasarkan gambar atau topik yang disediakan. Kebanyakan modul mendengar dan bertutur BC KSSR Tahun 1 ini disediakan dalam bentuk gambar bersiri pada permulaan unit-unit dalam buku teks. Modul tersebut melatih murid meneliti gambar dan mendengar arahan, kemudian menyampaikan idea sendiri dengan ayat yang sesuai. Guru perlu membimbing murid memahami isi kandungan gambar dengan menanya soalan-soalan yang berkenaan. Di sini, murid perlu mendengar untuk memahami soalan guru, berfikir bagaimana menjawab soalan guru, dan bertutur menjawab soalan guru dengan ayat yang sesuai. Melalui modul tersebut, guru dapat melatih murid mendengar dan bertutur dengan baik. Tambahan pula, biasanya isi kandungan gambar mengandungi nilai murni, guru juga boleh melatih murid menaakul tindakan dalam gambar wajar atau tidak dan mencari sebabnya, seterusnya baru mengaitkannya dengan nilai murni. Hal ini dapat menambah peringatan murid terhadap pengajaran guru pada unit tersebut.
Modul Membaca
Setiap unit pembelajaran mengandungi dua teks, sama ada dalam bentuk sastera atau bukan sastera. Ayat yang digunakan dalam teks adalah mudah difahami. Bahan bacaan teks dalam bentuk sastera ialah puisi kanak-kanak. Puisi Bahasa Cina berbeza dengan Bahasa Malaysia. Puisi kanak-kanak yang dipilih untuk menjadi teks dalam buku teks tersebut adalah senang diingati. Murid-murid saya berasa seronok apabila menjalankan aktiviti membaca. Mereka boleh membaca puisi Bahasa Cina dengan sebutan dan intonasi yang betul dan menarik selepas latihan guru. Bahan bacaan dalam bentuk bukan sastera merupakan teks cerita pendek ataupun teks penerangan. Murid-murid amat suka menjawab soalan yang berkenaan dengan teks tersebut. Hal ini disebabkan oleh murid yang menjawab dengan betul boleh menerima satu stiker kecil sebagai ganjaran.
Kemahiran membaca dalam Bahasa Cina bukan membaca teks sahaja, tetapi juga perlu mengenal bentuk perkataan dalam Bahasa Cina. Kata dalam Bahasa Cina ditulis dalam petak empat segi. Murid-murid perlu mengenal bentuknya kerana terdapat perbezaan antara satu sama lain, tetapi juga dapat kata yang hampir sama lupanya. Misalnya, "午" yang bermaksud tengah hari dan "牛"yang bermaksud lembu, kedua-dua kata adalah hampir sama dan perlu pemerhatian untuk membezakannya. Ini jugalah sebab penggunaan masa yang lebih banyak untuk melaksanakan modul membaca.
Modul Menulis
Modul menulis dalam unit pembelajaran Bahasa Cina KSSR Tahun 1 diletakkan di bawah bahagian modul membaca. Seperti yang saya sebut tadi, guru perlu membimbing murid mengenal pasti bentuk kata, seterusnya ialah mengajar mereka cara menulisnya dalam petak empat segi. Guru perlu mengajar murid cara menulis kata, susunan menulis kata serta struktur dan kerangka kata. Pengajaran ini juga memerlukan masa yang panjang, jadi murid belajar 5 kata dalam satu teks sahaja.
Masalah yang saya temui dalam pengajaran modul menulis ialah tulisan murid yang tidak kemas, tidak mengikut struktur dan kerangka kata dan juga tulisan yang tidak dapat dibaca. Untuk mengatasi masalah tersebut, saya membimbing murid menulis di dalam kelas dengan menggunakan papan putih kecil (dibeli oleh murid KSSR Tahun 1 untuk belajar cara menulis BM, BI dan BC, ada dua muka, satu muka ada dua "empat garis" untuk belajar BM dan BI, dan satu muka ada dua "petak empat segi" untuk menulis perkataan BC). Di samping itu, saya juga memadamkan tulisan tersebut dan meminta murid berkenaan menulis semula. Hasil saya pada akhir tahun ini adalah baik, tinggal lima orang sahaja yang tulisannya tidak kemas, antaranya ada dua orang masih susah dibaca.
Modul Seni Bahasa
Modul seni bahasa disediakan untuk memperkenalkan seni bahasa BC kepada murid Tahun 1. Antaranya termasuk puisi (zaman dahulu) dan teka-teki. Modul ini menggunakan pelbagai jenis permainan yang berkaitan dengan bahasa untuk menyeronokkan murid dalam pembelajaran seni bahasa. Puisi yang dipilih adalah puisi dari dynasti Tang dan merupakan klasik dalam Bahasa Cina. Teka-teki yang disediakan dapat melatih murid berfikir dari pelbagai segi. Didik hibur merupakan teknik mengajar utama dalam modul seni bahasa. Guru boleh membimbing murid menyanyi, melakon dan sebagainya untuk menarik perhatian murid terhadap pembelajaran Bahasa Cina. Melalui pemerhatian saya, murid-murid Tahun 1 Merah amat suka permainan-permainan yang dicadangkan dalam modul ini. Mereka menunjukkan keinginan belajar apabila menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan seni bahasa.
Namun, ini menjadi punca masalah disiplin kerana mereka terlalu minat menyampaikan idea sendiri ataupun membuat persembahan. Untuk mengatasi masalah tersebut, saya menggunakan sistem merit demerit, iaitu saya akan menilai mereka dalam bentuk kumpulan, dari segi hasil yang dikeluarkan dan juga disiplin mereka. Hal ini berguna dan mereka dikawal dengan baik. Saya bercadang guru lain menggunakan sistem merit demerit untuk aktiviti kumpulan.
Modul Tatabahasa
Pengajaran tatabahasa adalah amat penting dalam pembelajaran bahasa. Modul tatabahasa yang disediakan dalam buku teks mengikut adalah sesuai dengan perkembangan pengajaran Bahasa Cina KSSR Tahun 1. Melalui pemerhatian saya, modul tatabahasa bersusunan dari senang ke susah. Modul tatabahasa ini bermula dari kata, perkataan dan frasa, kemudiannya ialah sinonim dan antonim, Hanyu Pinyin dan seterusnya membina ayat. Susunan ini adalah sesuai dengan ilmu pengetahuan yang sedia ada pada murid.
Masalah mengajar yang paling besar dalam modul tatabahasa ialah Hanyu Pinyin. Hanyu Pinyin ialah cara membunyikan kata dalam Bahasa Cina, ia adalah persamaan dengan suku kata KV dari segi menulis, yang berbeza ialah Hanyu Pinyin ada modulasi nada. Sebelum pengajaran ini, murid telah belajar cara mengeja dan menyebut suku kata KV dalam Bahasa Malaysia, hal ini menjejaskan hasil pembelajaran mereka semasa belajar Hanyu Pinyin. Sebagai contoh, saya mengajar "na" , saya menanya murid tahukah apa perkataan yang berbunyi "na", seorang murid memberi jawapan "nasi lemak". Kejadian ini pernah berlaku beberapa kali kerana kekeliruan murid terhadap suku kata KV dengan Hanyu Pinyin. Bagi mengatasi masalah ini, saya menyediakan jadual Hanyu Pinyin untuk setiap murid dan meminta mereka membacanya setiap hari sebelum saya masuk ke kelas. Saya juga menjalankan kuiz Hanyu Pinyin dua minggu sekali, dan memberikan hadiah kecil kepada pemenang-pemenang. Tindakan ini berjaya meningkatkan pengetahuan murid terhadap Hanyu Pinyin.
Sepanjang tahun ini, saya menggunakan buku teks yang disediakan untuk mengajar. Saya berasa buku teks tersebut adalah sangat baik dan membantu saya melaksanakan tugas sebagai guru KSSR Tahun 1. Unit-unit pembelajaran dalam buku teks juga mudah difahami dan mengandungi banyak gambar yang berwarna-warni, hal ini memang dapat menarik perhatian murid terhadap pembelajaran dalam modul-modul berkenaan.