B. Malaysia [Refleksi]



Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia selama tiga tahun di SJK(C) Chong Hwa Senggarang. Tahun ini saya mengajar Bahasa Malaysia Tahun 2. Sebelum ini, saya mengajar Bahasa Malaysia Tahun 1 dan mengambil kelas KIA 2M(2008 & 2009) atau LINUS(2010). Pengajaran Bahasa Malaysia Tahun 2 merupakan satu cabaran baru bagi saya kerana saya tidak pernah mengajarnya. Setiap minggu, saya berjumpa dengan murid Tahun 2 Merah selama 9 waktu mengajar untuk mata pelajaran ini.
Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah digubal dengan memberikan fokus kepada Hasil Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Hasil Pembelajaran ini berteraskan kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca dan Kemahiran Menulis. Sehubung itu, saya membuat refleksi berdasarkan kemahiran bahasa.


Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merupakan keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas. [Penjelasan Sukatan Pelajaran KBSR Bahasa Malaysia]
Kemahiran mendengar merupakan satu kemahiran yang penting dalam usaha belajar segala hal, khasnya bahasa. Kita mungkin boleh mendapat ilmu pengetahuan melalui membaca buku, tetapi kita tidak boleh belajar sejenis bahasa tanpa kemahiran mendengar. Kemahiran mendengar membantu kita belajar cara bertutur dalam bahasa tersebut.
Pada awal tahun, untuk melatih murid saya mendengar dengan teliti, saya cuba menggunakan Bahasa Malaysia sahaja untuk memberi arahan dan menjelaskan pengajaran. Namun, murid kelas ini hanya Tahun 2, mereka tidak dapat mengikut pengajaran saya sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia. Jadi, saya terpaksa menggunakan Bahasa Cina untuk menjelaskan perkara-perkara yang mereka kurang fahami. Mulanya tindakan ini mendapat maklum balas yang agar baik, tetapi hal ini menimbulkan satu masalah apabila  tindakan tersebut dilaksanakan sepanjang masa, iaitu mereka tidak beri perhatian kepada pengajaran saya dalam Bahasa Malaysia dan sentiasa menunggu saya memberi penjelasan dalam Bahasa Cina.
Bagi mengatasi masalah tersebut, saya berbincang dengan ketua panitia saya. Beliau bercadang saya mengajar dengan menggunakan Bahasa Malaysia 80% dan Bahasa Cina 20%. Nisbah ini adalah sesuai untuk mengajar murid Tahun 2. Di samping itu, saya minta murid menjelaskan arahan atau pengajaran sebelum saya memberi penjelasan dalam Bahasa Cina. Tindakan-tindakan tersebut berjaya mengatasi masalah tersebut. Murid-murid memberi tumpuan pada pengajaran saya dengan mendengar dengan teliti. Mereka boleh memberi maklum balas yang wajar apabila mendengar arahan yang saya keluarkan.


Kemahiran Bertutur
Kemahiran bertutur merupakan keupayaan murid berbual untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberi kepada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.[Penjelasan Sukatan Pelajaran KBSR Bahasa Malaysia]
Kemahiran bertutur dalam Bahasa Malaysia merupakan masalah pengajaran saya dalam pengajaran Tahun ini. Murid-murid kelas ini biasanya bertutur dengan menggunakan bahasa ibundanya, mereka jarang bertutur dalam Bahasa Malaysia. Hal ini menjejaskan komunikasi kami dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Untuk mengatasi masalah tersebut, saya meminta murid berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia pada waktu Bahasa Malaysia. Saya menggalakkan mereka menyampaikan pendapat dengan menggunakan Bahasa Malaysia dalam bentuk ayat mudah. Di samping itu, saya juga berbual dengan mereka dengan Bahasa Malaysia sahaja. Tindakan-tindakan tersebut dapat menambah peluang murid bertutur dalam Bahasa Malaysia.
Untuk meningkatkan peluang murid bertutur dalam Bahasa Malaysia, saya menggunakan pengajaran situasi sebagai cara mengajar. Saya menyediakan pelbagai situasi mengikut sukatan pelajaran atau menggunakan dialog yang sedia ada pada buku teks dan meminta murid membuat lakonan yang berkaitan. Murid berasa seronok apabila diminta keluar untuk membuat lakonan. Namun, mereka tidak boleh bertutur dengan menggunakan idea sendiri dan memerlukan bimbingan guru ataupun dialog yang sedia ada untuk membuat lakonan.
Selain itu, sekolah saya juga mengadakan minggu Bahasa Malaysia sebulan sekali. Dalam minggu Bahasa Malaysia, guru dan murid perlu berkomunikasi dengan menggunakan Bahasa Malaysia. Perhimpunan juga dijalankan dengan penggunaan Bahasa Malaysia. Minggu Bahasa Malaysia memberi peluang kepada murid bertutur dalam Bahasa Malaysia dan meningkatkan penguasaan murid terhadap Bahasa Malaysia.


Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merupakan keupayaan murid membaca ayat dengan lancar serta sebutan, intonasi, dan jeda yang betul. Penekanan perlu diberi kepada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik baca.[Penjelasan Sukatan Pelajaran KBSR Bahasa Malaysia]
Semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan di dalam kelas 2 Merah, saya mendapati kebanyakan pelajar tidak pandai membaca perkataan yang panjang, malah ada sesetengahnya tidak pandai mengeja suku kata, terutamanya perkataan yang mengandungi suku kata KVK dan KVKK. Hal ini kerana suku kata KVK dan KVKK lebih sukar dibunyi jika berbanding dengan suku kata KV. Keadaan ini menyebabkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran tidak berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Jika saya menggunakan masa yang banyak untuk mengulang pengajaran tentang cara mengeja dan membaca perkataan yang mengandungi suku kata KVK atau KVKK, memang mereka dapat membacakannya, tetapi ini menimbulkan rasa bosan bagi pelajar yang sudah pandai dan tahu membaca ayat mudah.
Untuk mengatasi masalah tersebut, saya telah melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti seperti sudut bacaan, didik hibur serta latih tubi yang boleh meningkatkan penguasaan kemahiran membaca dalam bilik darjah.  


Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas,cantik, dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan berunsur pengetahuan dan penulisan imaginatif.[Penjelasan Sukatan Pelajaran KBSR Bahasa Malaysia]
Kemahiran menulis merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan membina idea. Hasil pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid-murid Tahun 2 dalam kemahiran menulis ialah membina dan menulis ayat berdasarkan bahan rangsangan dengan tulisan yang jelas dan kemas.
Untuk melatih murid membina ayat yang mudah, saya memperkenalkan struktur ayat sebagai permulaan. Pada awal tahun, saya menyediakan satu buku kecil yang mengandungi gambar dan ayat yang berkenaan. Misalnya, gambar kakak jahit baju dengan ayat "Kakak menjahit baju", gambar bapa cuci kereta dengan ayat "Bapa mencuci kereta" dan sebagainya. Dengan bantuan gambar dan ayat yang pendek, murid mengetahui bahawa ayat mengandungi dua bahagian, iaitu subjek dan predikat. Subjek dan predikat merupakan bahagian utama yang membentuk ayat. Hal ini dapat membantu mereka membina ayat dengan struktur yang betul.
Tulisan murid jugalah satu perkara yang sangat penting dalam kemahiran menulis. Terdapat pelbagai jenis tulisan dalam kelas ini, antaranya ada yang baik, kemas dan cantik, dan juga ada yang teruk dan susah difahami. Saya memberi stiker kepada mereka yang bertulisan cantik setiap kali menanda buku tulisan sebagai ganjaran. Bagi membetulkan tulisan murid yang teruk itu, saya memadam kerjanya dan memintanya menulis semula sehingga tulisannya boleh dibaca. Tindakan ini dilaksanakan sepanjang masa dan mendapat maklum balas yang baik. Pada awal tahun, tulisan murid kelas ini hampir setengah sukar dibaca. Namun, pada akhir tahun ini, tulisan murid 2 Merah dalam Bahasa Malaysia tinggal dua atau tiga orang sahaja yang teruk, yang lain boleh dibaca dan sebahagian adalah cantik dan kemas.
Saya menyediakan ‘Sudut Bacaan’ di papan kenyataan kelas. Pada sudut tersebut, saya memaparkan  perkataan-perkataan yang panjang serta ayat mudah. Sudut ini diwujudkan bertujuan memberi ruang kepada murid-murid untuk mengisi masa terluang selepas selesai sesuatu aktiviti. Murid-murid diberi tugas membaca satu perkataan panjang atau satu ayat mudah(mengikut kebolehan murid) setiap hari. Hal ini menarik perhatian murid dan menambah keinginan murid untuk belajar kerana murid yang berjaya membaca lima perkataan(murid lemah) atau ayat mudah(murid pandai) dengan lancar dalam satu minggu akan diberi satu stiker sebagai ganjaran.
Bagi menyelesaikan masalah mengeja dan membaca perkataan yang mengandungi KVK atau KVKK, saya menggunakan didik hibur dan latih tubi sebagai teknik mengajar utama dalam pengajaran. Didik hibur adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia akan menyediakan suasana yang lebih menyeronokkan dan menarik melalui pelbagai kaedah seperti aktiviti menyanyi, surat misteri, pertandingan membaca dan sebagainya. Latih tubi merupakan teknik mengajar yang amat penting dalam kemahiran membaca. Hal ini disebabkan oleh kemahiran membaca memerlukan banyak latihan dari segi mengeja dan membunyi.